PBTSELANGOR

Operasi pecah tanjakan pada premis salah guna tempat letak kereta.

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 18 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan operasi memecah tanjakan di Jalan Alfa C, Seksyen U6 Shah Alam melalui Operasi Memecah Tanjakan Simen, pada 14 Mac lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, operasi itu diadakan bagi mengesan dan menangani masalah pemilik premis perniagaan yang menyalahgunakan tempat letak kereta tanpa kebenaran MBSA.

Katanya, ketika operasi dijalankan sebanyak tujuh premis dikenakan tindakan kerana membina tanjakan simen.

“Enam tanjakan dipecahkan, enam kompaun dan empat notis dikeluarkan serta dua kon disita ketika operasi diadakan. MBSA menggunakan sebuah jentera excavator untuk memecahkan tanjakan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, penggunaan tempat letak kereta tanpa kebenaran untuk tujuan perniagaan adalah satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).

Shahrin berkata, MBSA mengenalpasti 21 kategori perniagaan yang boleh memohon sewaan tempat letak kereta khas antaranya kedai membaiki, menjual dan ruang pameran aksesori kereta atau motosikal, kedai menjual perabot, klinik serta pasar raya atau kedai runcit yang memerlukan ruang pemunggahan barang.

“Petak letak kereta khas yang disewa hanya untuk menurun dan menaikkan barang, laluan keluar dan masuk kenderaan serta meletak kenderaan berdaftar sahaja.

“MBSA hanya membenarkan ramp mudahalih (portable) diletakkan di petak khas yang sudah diluluskan. Binaan ramp konkrit atau simen tidak dibenarkan,” katanya.

MBSA juga memohon pemilik premis yang ingin menggunakan tempat letak kereta bagi tujuan perniagaan mengemukakan permohonan sewaan petak khas terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

“Tindakan tegas termasuk memecahkan tanjakan dan kompaun akan dikenakan kepada pemilik premis yang ingkar dan membina tanjakan haram, di hadapan premis mereka,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkenaan sewaan petak letak kereta khas, boleh hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1477, 1657 dan 1658.


Pengarang :