SEREMBAN, 30 MAC: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bermula hari ini akan menjadi medan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menguji sama ada pengundi di DUN itu masih mahu memilih beliau.
Mohamad, 63, yang juga calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK itu dan menjadi ADUN Rantau selama tiga penggal bagaimanapun sedar tugas berat sedang menanti beliau dalam misi mempertahankan kerusi itu yang juga akan menentukan masa depan politiknya.
Beliau yang tidak mahu mendedahkan strategi kempennya mengakui akan berjumpa seramai mungkin pengundi di DUN Rantau.
“Saya akan berjumpa seramai mungkin pengundi di DUN Rantau untuk yakinkan mereka kenapa mereka perlu sekali lagi memilih BN,” katanya.
Beliau memenangi kerusi DUN Rantau pada PRU14 tanpa bertanding, namun Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau terbatal dan tidak sah.
Calon Bebas Mohd Nor Yassin, 67, pula merupakan bekas pensyarah Maktab Perguruan Raja Melewar di Seremban mahu membangunkan Rantau berteraskan Islam jika diberi mandat.
Bapa kepada lima orang anak itu berkata, beliau bertanding pada PRK ini atas kehendak sendiri serta mempunyai keyakinan untuk memenangi DUN Rantau.
“Saya pernah bertanding di DUN Gemencheh pada PRU13 lalu atas tiket PAS dan dengan pengalaman dalam bidang politik, saya yakin mampu memberi saingan kepada calon lain,” katanya.
Seorang lagi calon Bebas, R. Malarvizhi, 51, pula berkata beliau bertanding kerana mahu membangunkan Rantau yang disifatkannya tidak membangun selama ini.
Beliau yang dilahirkan di Port Dickson pada 25 September 1968 dan dibesarkan di Kampung Ganapathy, Rantau adalah bekas penyampai radio di Toronto, Kanada.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 April sebagai hari mengundi, manakala 9 April sebagai hari mengundi awal. -BERNAMA