NASIONAL

19 kematian jalan raya pada hari kedua Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Sejumlah 19 orang maut dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara pada hari kedua Aidifitri, semalam.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata jumlah kematian itu menjadikan seramai 159 orang maut dalam 14,793 kemalangan jalan raya sejak Op Selamat 15 dilancar 29 Mei lepas.

Sebanyak 20,903 kenderaan terlibat dalam kemalangan jalan raya dalam tempoh sembilan hari itu, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Semalam, lima kematian di lapor di Johor, empat di Selangor, masing-masing dua di Pahang, Terengganu dan Sabah serta masing-masing seorang di Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan,” katanya.

Sehingga semalam, Selangor merekod jumlah kemalangan paling tinggi dengan 4,057 kemalangan diikuti Johor (2,259); Kuala Lumpur (1,865); Pulau Pinang (1,215); dan Perak (1,163).

Selain itu, Asmawati berkata bagi tempoh sama sebanyak 2,610 operasi dijalankan di seluruh negara dengan 197,541 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Op Selamat yang berlangsung sehingga 12 Jun memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama iaitu memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Sementara itu bagi kes pecah rumah dan premis pula, 380 kes direkod di seluruh negara dalam tempoh sembilan hari Op Selamat itu. – BERNAMA


Pengarang :