SELANGOR

Lebih 5,000 hadiri jamuan raya MPAJ

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 29 JUN: Walaupun Syawal semakin hampir ke penghujung, namun kemeriahan sambutannya masih dirasai dengan penganjuran Majlis Jamuan Hari Raya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di Dataran Menara MPAJ, di sini malam tadi.

Acara tradisi tahunan Pihak Berkuasa Tempatan itu bermula sekitar 8 malam dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, sambutan berkenaan juga diadakan khusus untuk Pengerusi Persatuan Penduduk, Badan Pengurusan Bersama (JMB) termasuk Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau yang mewakili masyarakat setempat.

“Sambutan begitu menggalakkan dan ini kali pertama kita mengadakan sambutan hari raya pada waktu malam dengan memakai pakaian bertemakan busana tradisional.

“Kakitangan daripada setiap jabatan dipertanggungjawab menyediakan gerai serta menu masing-masing dan kita dapati mereka dapat melaksanakan tanggungjawab itu dengan gembira,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang berkelapangan hadir bagi memeriahkan acara terbabit.

“Diharapkan penduduk dapat memberi kerjasama kepada kita dalam apa jua perkara yang dilaksanakan supaya hubungan antara MPAJ dengan masyarakat dapat dikekalkan,” katanya.

Aneka juadah makanan disajikan antaranya ketupat, rendang, lemang, sate, kambing bakar, ‘steamboat’, mi sup serta pelbagai masakan lain.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi popular tanah air, Siti Nordiana termasuk beberapa persembahan lain.

 


Pengarang :