EKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum susut semula

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Bursa Malaysia dibuka tinggi namun susut kemudiannya pada pagi ini apabila indeks petunjuk utama itu terus menyaksikan aktiviti belian ketara berikutan kenaikan yang dicatat baru-baru ini.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.15 mata kepada 1,685.33 daripada 1,687.48 sewaktu ditutup pada Khamis.

Sewaktu dibuka, indeks tersebut mencatat peningkatan 0.12 mata kepada 1,687.60.

Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah positif dengan 119 kaunter untung berbanding 91 manakala 164 kaunter tidak berubah, 1,473 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 129.42 juta unit bernilai RM40.76 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya yakin peningkatan yang diraih pasaran baru-baru ini sudah reda selepas indeks utama itu mencatat kenaikan sebanyak lapan peratus berbanding penyusutan terendah dalam tempoh setahun pada sebulan lepas.

“Kami berpendapat peningkatan itu jelas memaparkan prospek asas korporat Malaysia pada tahun ini yang turut menyaksikan aktiviti aktiviti belian ketara.

“Malah, ini dapat dilihat selepas saham modal kecil dibeli berlebihan akibat peningkatan pasaran baru-baru ini dan akan disusuli dengan aktiviti pengambilan untung dalam masa terdekat,” katanya.

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menjangkakan aktiviti belian ketara itu akan memanjangkan tempoh konsolidasi pada sesi dagangan akhir bagi minggu ini.

Secara teknikal, paras rintangan adalah 1,680 hingga 1,682 dan diikuti 1,670 manakala sokongan pada 1,694 dan 1,700.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Tenaga masing-masing berkurangan dua sen kepada RM8.96 dan RM14.12, CIMB rugi satu sen kepada RM5.29 manakala Public Bank dan Petronas Chemicals tidak berubah pada RM23.00 dan RM8.62.

Bagi saham aktif, KNM dan waran masing-masing naik satu sen kepada 31 sen dan 14 sen, Green Packet menokok satu sen kepada 39 sen manakala Sumatec dan DGSB tidak berubah iaitu masing-masing pada 3.5 sen dan 11 sen.

Axiato muncul kaunter paling rugi iaitu susut lima sen kepada RM5.21 manakala kaunter paling untung, Yinson, naik 11 sen kepada RM6.76.

FBM 70 berkurangan 7.54 mata kepada 14,930.86, Indeks FBMT 100 turun 12.84 mata kepada 11,764.01 dan FBM Ace susut 0.78 mata kepada 4,622.28.

Indeks FBM Emas kehilangan 11.34 mata kepada 11,927.59 dan Indeks Syariah FBM Emas turun 10.20 mata kepada 12,324.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 13.82 mata kepada 16,768.83 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.08 mata kepada 162.12 dan Indeks Perladangan menambah 1.92 mata kepada 6,945.39. – BERNAMA


Pengarang :