SELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan MBPJ sedia pelbagai aktiviti menarik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 JULAI: Orang ramai khususnya warga Petaling Jaya dipelawa menyertai program Hari Tanpa Kenderaan peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya, di sini, Ahad ini.

MBPJ dalam kenyataan memaklumkan, acara bermula seawal 6 pagi hingga 1.30 petang itu mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik misalnya Family Fun Run, PJ Smart Ride, pertandingan e-sukan, gasing moden (beyblade), cabaran bola sepak kanak-kanak dan santai budaya.

Katanya, program bertemakan #CeriaBersamaKeluarga itu turut menyajikan beberapa aktiviti santai termasuk permainan tradisional.

“Program ini adalah usaha MBPJ untuk menjadikan Petaling Jaya bandar raya hijau dan mampan di samping mengajak penduduk tempatan untuk bersama-sama memelihara tenaga serta sumber bagi mengurangkan penggunaan kenderaan supaya dapat mengawal kadar pencemaran udara.

“Selain itu, penganjuran program edisi kedua bagi tahun 2019 ini adalah inisiatif kita untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di samping menggalakkan masyarakat menukar mod perjalanan daripada kenderaan bermotor kepada berbasikal dan berjalan kaki,” katanya.

Kenyataan sama turut menyebut, pendaftaran bagi kesemua aktiviti terbabit boleh dibuat pada hari berkenaan dan semua aktiviti adalah percuma.

“Kita berharap masyarakat menyokong usaha ini dalam merealisasikan matlamat untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya berkarbon rendah, hijau dan bebas halangan,” katanya.


Pengarang :