EKONOMINASIONAL

UK terbuka bekerjasama dengan Khazanah

KUALA LUMPUR, 11 JUL : United Kingdom (UK) terbuka untuk bekerjasama dengan Khazanah Nasional Bhd dalam pembangunan projek kereta nasional baharu (NNCP) dalam usaha membantu Malaysia merealisasikan matlamat pengurangan karbon.

Dengan kepakaran UK dalam pembuatan kenderaan elektrik (EV), Datuk Bandar Bandaraya London, Alderman Peter Estlin, percaya bahawa UK akan dapat membantu Malaysia memenuhi janji untuk mengurangkan 45 peratus daripada pelepasan karbon dioksida (CO2) pada 2030.

“Ini adalah bidang yang berkemungkinan (untuk bekerjasama dengan Khazanah) memandangkan tumpuan Malaysia adalah pada ekonomi karbon rendah.

“Tetapi kami perlu memahami bahagian mana daripadanya yang kami mahu (fokus). Jika automotif adalah satu daripadanya, dan jika EV adalah satu daripada elemennya, dengan itu ada peluang di situ,” katanya kepada Bernama di sini bersempena lawatan rasmi dua harinya ke Malaysia baru-baru ini.

Estlin, yang juga merupakan duta global bagi industri perkhidmatan kewangan dan profesional yang berpangkalan di UK dari 9 Nov 2018 untuk tempoh setahun, berkata syarikat automotif multinasional British, Jaguar Land Rover Automotive Plc, baru-baru ini telah mengikrarkan pelaburan hampir £1 bilion bagi pengeluaran EV di UK.

Berikutan itu, pemain industri daripada UK dan Malaysia boleh menimbangkan untuk menjalin kerjasama dalam bidang seperti pembangunan bateri atau pembuatan canggih yang lain dalam EV, katanya.

Pada awal tahun ini, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof dilaporkan berkata NNCP, yang akan dilancarkan pada tahun 2020, akan menjadi kenderaan cekap tenaga, mencetuskan spekulasi bahawa projek kereta akan datang merupakan EV yang menggunakan kuasa bahan api sel sepenuhnya.

Sementara itu, pada Mei tahun ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut memberi jaminan bahawa projek kereta nasional ketiga yang diilhamkannya akan dibiayai sepenuhnya oleh “entiti persendirian”, seperti unit milik penuh Khazanah, SilTerra Malaysia Sdn Bhd.

Difahamkan, Estlin telah mengadakan pertemuan dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Peguam Negara Tommy Thomas, serta wakil daripada Khazanah, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Persatuan Teknologi Kewangan (fintech) pada lawatan dua hari beliau yang berakhir pada Selasa.

Lawatan itu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara, serta menerokai lebih banyak peluang dalam bidang seperti sukuk hijau, pembiayaan hijau dan fintech, termasuk kerjasama dalam meningkatkan peraturan fintech di Malaysia.

Menyentuh mengenai sentimen pelabur UK di Malaysia, Estlin mengakui bahawa kekurangan kejelasan dalam rangka kerja strategik kerajaan telah menjadi kebimbangan mereka untuk melabur di negara ini.

“Dunia bergerak dengan pantas, dan terdapat banyak pelaburan yang datang ke Malaysia.

“Bagi membolehkan perkara itu berterusan, kami memerlukan kejelasan tentang apa visi strategik atau rangka kerja strategik di masa depan, kerana kami cuba beralih daripada pelaburan jangka pendek kepada pelaburan yang mampan,” tambahnya.

UK merupakan pelabur asing kelapan terbesar di Malaysia, dengan pelaburan langsung asing bernilai RM22.3 bilion pada 2018.

-BERNAMA


Pengarang :