BERITA UTAMA

Laksanakan tugas dengan ikhlas, jujur dan amanah – Yadim

SHAH ALAM, 18 JUL: Umat Islam khasnya golongan penjawat awam di Selangor diingatkan supaya melaksanakan tugas dengan ikhlas, jujur dan amanah.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, hal ini kerana pekerjaan bukan sahaja menjadi sumber rezeki semata tetapi juga merupakan satu ibadah.

“Ibadah sangat luas hingga mencari rezeki juga ibadah.

“Kepada Pegawai Kerajaan, tugas diamanahkan itu juga adalah ibadah dan kerana kasih kita kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah pada Program Penghayatan Islam di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, di sini, hari ini.

Nik Omar berkata, umat Islam perlu menerapkan unsur kasih sayang dan ‘ar rahmah’ yang merupakan makanan jiwa dalam kehidupan seharian.

Katanya, unsur kasih sayang mampu menghidari perbalahan, kebencian dan pembunuhan.

“Umat islam semakin tiada makanan roh di mana ini yang berlaku di Negara Arab hingga sanggup membunuh saudaranya sendiri,” katanya.

Program Penghayatan Islam yang dihadiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan isteri, Masdiana Muhamad itu merupakan program dwi mingguan.

Turut hadir Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan para pelajar Sekolah Tahfiz Al-Fateh Jalan Kebun, Shah Alam.

Selain tazkirah, turut diadakan, majlis bacaan Yassin yang dipimpin Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya.


Pengarang :