BANGI, 24 Julai — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) beramah mesra bersama anggota Briged Bakti Malaysia Remaja (BBMR) pada Majlis Penutup Karnival Perdana Pasukan Briged Bakti Malaysia Remaja di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam Bangi Selangor hari ini. Turut hadir Presiden Briged Bakti Malaysia Datuk Dr Abdul Razak Kechik. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDANASIONAL

Kerja bakti dapat tingkat amalan, perhubungan sesama insan

BANGI, 24 JUL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerja-kerja bakti dan amal bukan sahaja dapat mempertingkatkan amalan, tetapi juga memelihara kesihatan dan perhubungan sesama insan.

“Ianya dapat memperkukuhkan institusi masyarakat dan seterusnya mengangkat kualiti kehidupan sejagat,” katanya ketika menutup Karnival Pasukan Briged Bakti Malaysia Remaja Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, golongan muda dan profesional digalakkan untuk melibatkan diri dengan kerja-kerja bakti dan sukarela.

Untuk itu, katanya, kempen-kempen berbentuk motivasi untuk memupuk minat orang ramai dalam tugas-tugas kesukarelawanan dan penyampaian mesej yang baik dalam melakukan kerja-kerja bakti, perlu dipertingkatkan.

Menurutnya, pada masa kini, aktiviti kesukarelawanan semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Katanya, semua golongan masyarakat kelihatan berminat menjadi sukarelawan daripada pelbagai peringkat usia sama ada secara individu, berkumpulan atau mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tanpa mengira fahaman politik, agama, bangsa darjat dan keturunan.

“Sekiranya semangat untuk berbakti secara sukarela ini berjaya dipupuk dan dititikberatkan dalam diri setiap daripada kita, nescaya akan ringanlah pelbagai beban yang ditanggung masyarakat pada hari ini,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :