AGENDABERITA UTAMANASIONAL

‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ tema Hari Kebangsaan tahun ini

SHAH ALAM, 24 JUL: ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini bertujuan menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan juga kemakmuran bersama.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kerajaan optimis tema berkenaan boleh memupuk dan menyalakan nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih juga tinggi.

Katanya, kerajaan juga memuktamadkan untuk mengekalkan logo rasmi sambutan tahun lalu dengan tambahan tema baharu berkenaan, manakala ‘Malaysia Bersih’ akan menjadi lagu utama sambutan pada tahun ini.

Namun, katanya, lagu “Kita Punya Malaysia” akan turut dinyanyikan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan menyemai amalan budaya integriti serta menolak rasuah dalam kehidupan kita.

“Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2019 akan diadakan di Putrajaya pada 31 Ogos, manakala sambutan Hari Malaysia 2019 bakal diadakan di Kuching, Sarawak pada 16 September.

“Sementara itu, Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 akan diadakan pada 3 Ogos di Dataran Pahlawan, Melaka.

“Faktor Melaka dipilih sebagai lokasi pelancaran kerana negeri itu mempunyai sejarah sebagai tempat pengisytiharan kemerdekaan negara pada 20 Februari 1956 di Bandar Hilir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Gobind berkata, majlis berkenaan akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Menteri Kabinet dan EXCO Kerajaan Negeri.

Katanya, logo rasmi itu memaparkan simbol rakyat dalam pergerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati yang menyatukan mereka.

“Logo ini menggambarkan warganegara Malaysia berbilang bangsa dalam keharmonian rasa seia, sekata, sehati dan sejiwa, membarakan perasaan sayang kepada negara manakala penggunaan warna Jalur Gemilang pula menggambarkan kepelbagaian dalam satu perasaan, ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’.

“Bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan ini saya menyeru setiap rakyat menunjukkan cinta setianya kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, premis perniagaan, kereta dan di mana-mana tempat bersesuaian dengan penuh perasaan kebanggaan serta kegembiraan bahawa Malaysia ini kita punya,” katanya.

Katanya, pelbagai acara sempena sambutan Bulan Kebangsaan akan diadakan untuk membakar semangat cintakan negara dan patriotisme dalam kalangan masyarakat.

“Kerajaan amat menggalakkan pelbagai inisiatif dalam kalangan masyarakat bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia secara sukarela sekali gus memupuk semangat perpaduan,” katanya.


Pengarang :