Mohamad melihat sebahagian faisiliti yang diserahkan kepada Klinik Kesihatan Bukit Naga
SELANGOR

RM1.8 juta naik taraf fasiliti Parlimen Kota Raja

KLANG, 1 OGOS : Sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan Parlimen Kota Raja bagi menaik taraf beberapa fasiliti bangunan seperti sekolah, klinik dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan terbabit.

Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu berkata, jumlah itu diagihkan kepada 45 buah sekolah, dua klinik kesihatan, lima kawasan rukun tetangga, lima persatuan penduduk dan lima MPKK kawasan berkenaan.

Katanya, beliau optimis dengan adanya pengagihan aset itu sedikit sebanyak dapat mengatasi serba sedikit kesulitan dan keperitan dihadapi pelajar serta penduduk sekitar.

“Di sekolah, kita memberi peruntukan untuk mengecat dan menambah baik peralatan sekali gus akan menghasilkan suasana kondusif serta keselamatan pelajar dan guru lebih terjamin.

“Manakala, di sini (Klinik Kesihatan Bukit Naga) pula kita menyumbangkan 30 kerusi menunggu, dua khemah dan satu set alat permainan kanak-kanak.

“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban yang dihadapi pihak pengurusan klinik dan memberi keselesaan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Penyerahan Projek Mesra Rakyat dan Pelancaran Program Sayangi Klinikku peringkat Parlimen Kota Raja, di Klinik Kesihatan Bukit Naga, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud; EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim; EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau dan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sementara itu, Mohamad berkata, pihaknya akan cuba lagi membantu menaik taraf beberapa fasiliti di Parlimen Kota Raja memandangkan terdapat banyak permohonan.

“Kita akan lihat kepada keperluan dari semasa ke semasa dan sekiranya perlu kita akan cuba memberikan peruntukan bagi menaik taraf fasiliti di sini,” katanya.

Terdahulu, antara bangunan terlibat menerima peruntukan menaik taraf adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Andalas; SM Bukit Tinggi; SMK Alam Megah; SMK Bukit Tinggi; Sekolah Kebangsaan Johan Setia dan Sekolah Kebangsaan Kota Kemuning (2).

Manakala, Persatuan Penduduk Tanjung Api Api; Kampung Dagang Jati dan Kafa Integrasi Masjid Proton turut menerima sumbangan terbabit.


Pengarang :