Remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin.
AGENDANASIONAL

Nora Anne: Perancis rakam penghargaan kepada Malaysia

PUTRAJAYA, 16 OGOS: Perancis merakam penghargaan kepada Malaysia atas usaha tanpa henti pihak berkuasa negara ini untuk mengesan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang semasa sedang bercuti di Malaysia.

Menteri Negara Perancis kepada Menteri Hal Ehwal Luar dan Eropah, Jean-Baptiste Lemoyne, menyampaikan penghargaan itu menerusi panggilan telefon semalam kepada Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya, menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini.

“Marzuki turut menyampaikan kepada Lemoyne simpati dan takziah Malaysia atas kematian mendiang Nora Anne,” jelas kenyataan itu.

Mayat Nora Anne, remaja istimewa berumur 15 tahun ditemui pada tengah hari Selasa kira-kira dua kilometer dari resort The Dusun, tempat dia dan keluarganya menginap selepas mereka mendaftar masuk pada 3 Ogos untuk bercuti selama dua minggu.

Operasi mencari dan menyelamat besar-besaran dilancarkan susulan kehilangan gadis itu pada 4 Ogos, membabitkan agensi termasuk polis, tentera, anggota bomba dan penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam di samping Orang Asli serta pendaki sukarelawan.

Polis Perancis, Ireland dan Britain turut membantu polis Malaysia dalam siasatan kes itu.

Bapa Nora Anne, Sebastien Marie Philipe adalah warga Perancis manakala ibunya, Meabh Jaseprine Quoirin pula rakyat Ireland.

– BERNAMA


Pengarang :