Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

19 ahli Geng Emi Keju didakwa anggotai kumpulan jenayah

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Seramai 19 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menganggotai dan membantu kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Emi Keju.

Mereka ialah Zairy Huzaimy Md Akhir (dipercayai ketua kumpulan itu yang digelar Emi Keju), 32; Muhammad Khairuddin Osman, 25; Amirul Rezky Md Akhir, 23; Muhamad Norrazak Azmi, 29; Jazli Jamal, 24; Mohamad Habib Abdul Jabar, 33; Abdul Rahman Mohamed Daud, 29; Muhammad Neshril Rustam, 31; Makmur Saleng, 32, dan Muhammad Ikmal Aizam Azwani, 18.

Tertuduh lain ialah Muhammad Nur Farhan Sutarman, 25; Muhammad Arif Aiman Mohd Rasol Ambia, 21; Farizuwan Baharom, 25; Nor Azuwan Hafifi Md Akhir, 28; Mohamad Firdaues Azwani, 26; Affandy Hardey, 38; Muhamad Imran Abdullah, 23; Mohammad Kahirul Azhar Abdullah 26 dan Mohamad Yusuf Mat Nasir, 28.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan pengakuan mereka akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kerana kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, 18 daripada mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Emi Keju di Lot 3576 Kampung Indian Settlement, Jalan Bunga Raya 3, Batu Caves, Gombak, antara 25 Jan 2017 dan 23 Julai 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh, Mohamad Yusuf, didakwa telah membantu ahli kumpulan jenayah terancang Geng Emi Keju di Warta Lama Pasar Borong Selayang, dekat sini antara 22 Disember 2017 dan 23 Disember 2017 mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohd Izhanudin Alias mengendalikan pendakwaan manakala sembilan tertuduh diwakili peguam Rajsurian Pillai, Tan Teck Yew, Arif Azami Hussein, Azman Abdullah dan Gerard Lazarus, dan 10 tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Hakim Syafeera Mohd Said tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin kerana kesalahan di bawah SOSMA tidak boleh dijamin dan menetapkan 9 Oktober untuk sebutan semula kes.

Kesemua tertuduh dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

Sementara itu, suasana menjadi sayu, apabila anak perempuan seorang daripada tertuduh berusia dua tahun memanggil nama bapanya dari luar lokap di mahkamah itu.

Ditambah pula jeritan dan tangisan ibu seorang daripada ahli geng itu yang meminta supaya pihak polis membenarkannya memeluk serta mencium anaknya.

Semalam media melaporkan kumpulan jenayah terancang itu dipercayai giat melakukan samun bersenjata sejak 2013 melibatkan lebih 50 kes samun bersenjata sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan dengan anggaran kerugian melebihi RM4 juta.

Kesemua ahli Geng Emi Keju ini dikesan dalam operasi khas membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor dan Bahagian D14 Siasatan Jenayah Terancang Bukit Aman.

– BERNAMA


Pengarang :