AGENDANASIONAL

Kirim keris melalui pos budaya politik samseng – ADN Balakong

SHAH ALAM, 21 OGOS : Ahli Dewan Negeri Balakong, Wong Siew Ki menganggap tindakan individu tidak dikenali yang mengirimkan senjata tajam berupa keris kepada pembantunya adalah sebagai budaya politik samseng.

Siew Ki berkata, pengirim juga dianggap sebagai pengecut kerana tidak berani berhadapan dengan pihaknya sekiranya mempunyai sebarang masalah.

“Ini adalah politik samseng, di era Malaysia baharu kita boleh menerima sebarang kritikan dan mereka berhak untuk bersuara selagi ia tidak dianggap rasis serta boleh mengancam nyawa.

“Sudah-sudahlah mengamalkan budaya sebegini, kita sudah semakin matang tambahan lagi akan menjengah ke tahun 2020,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian berhubung laporan pembantu politik kepada ADN Balakong menerima ugutan melalui sampul surat yang mengandungi sebilah senjata tajam daripada individu tidak dikenali disyaki mempunyai kaitan dengan kempen bantah tulisan Jawi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Polis Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan daripada lelaki berusia 42 tahun itu pada jam 5.15 petang semalam, memaklumkan menerima sampul surat yang dialamatkan ke rumahnya di Kajang.

Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Mengulas lanjut, Siew Ki berkata, isu bantahan kempen tulisan Jawi berkenaan telahpun selesai berikutan petisyen yang disertai pembantunya telahpun dihentikan.

“Pada saya, kami akan menjalankan tugas seperti biasa dan perkara sebegini dianggap sebagai rencah kehidupan. Biarlah polis menjalankan siasatan mereka,” katanya.


Pengarang :