BERITA UTAMA

KKM rampas 66,988 botol cecair vape

 

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 66,988 botol cecair rokok elektronik atau vape dianggarkan bernilai RM1.4 juta dalam serbuan di 78 premis di seluruh negara sejak Selasa lalu.

Kesemua premis terbabit dikesan menjual cecair mengandungi bahan kimia nikotin kepada pelajar sekolah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menjalankan tindakan penguatkuasaan itu susulan tular isu pelajar menghisap rokok elektronik atau vape.

Katanya, KKM memandang serius isu dibangkitkan badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk yang tular di media sosial.

“KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Ibu Pejabat KKM bersama Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam (Sektor Inspektorat dan Perundangan) melakukan operasi membanteras rokok elektronik di seluruh negara bermula Selasa lalu.

“Tindakan penguatkuasaan dijalankan berikutan isu pelajar sekolah menghisap rokok elektronik dengan menggunakan peruntukan mengikut Akta Racun 1952 (Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984) iaitu kesalahan menjual cecair atau sebarang persediaan yang mengandungi nikotin sebagai bahan tidak didaftarkan sebagai ubat dan Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, sebarang persediaan yang mengandungi nikotin perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Menurut Noor Hisham, pengilangan, pemilikan dan penjualan produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Kesemua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Racun 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) Akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pada 20 Julai lalu, portal media tempatan mendedahkan terdapat kanak-kanak seawal usia 10 tahun dikesan ketagih menghisap rokok elektronik atau vape.

Ia dikatakan berpunca daripada kewujudan pelbagai jenis vape dan banyak bentuk iaitu seprti pen, jam tangan, pemetik api atau pemacu pena yang menarik pelajar sekolah untuk mencubanya.


Pengarang :