AGENDA NASIONAL

Kes SRC: Nik Faisal kaitkan Najib

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, ada mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC semasa rakaman percakapannya direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 2015.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain, 54, berkata, SPRM merekodkan keterangan Nik Faisal kali pertama pada 17 Oktober 2015 dan sekali lagi pada penghujung Oktober tahun sama di Jakarta, Indonesia.

Saksi pendakwaan ke-57 itu berkata demikian semasa disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada hari ke-57 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Muhammad Shafee :Ada atau tidak anda membuat siasatan lanjut atau mengambil corroborative evidence untuk menidakkan apa yang disebut Nik Faisal?

Rosli : Corroborative evidence dari siapa?

Muhammad Shafee :Daripada orang lain atau daripada dokumentasi

Rosli :Untuk siasat apa?

Muhammad Shafee : Umpamanya, kalau dia (Nik Faisal) kata bahawa Datuk Seri Najib tak terlibat dalam hal ini, katakanlah dia kata begitu.

Rosli :Tak ada pula dia (Nik Faisal) kata Najib tak terlibat.

Muhammad Shafee :Saya cadangkan bahawa Nik Faisal tidak implicate langsung Datuk Seri Najib dalam kedua-dua kenyataannya.

Rosli :Tidak setuju

Muhammad Shafee :Jadi Encik Rosli kata ada perkara-perkara yang dinyatakan …

Pada ketika ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V.Sithambaram membantah soalan seterusnya daripada Muhammad Shafee atas alasan peguam itu telah masuk kepada kenyataan oleh Nik Faisal.

Kepada soalan lain mengenai tandatangan Najib, saksi pendakwaan terakhir itu berkata, pihak SPRM telah mengambil sampel tandatangan Najib lebih dari 10 kali semasa merakamkan percakapannya.

Ditanya peguam itu mengapa beliau mengambil sampel tandatangan Najib, saksi itu menjawab “sekadar untuk persediaan sahaja, tetapi tiada sebarang dakwaan tandatangan beliau palsu atau beliau menafikan”.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Selasa.

– BERNAMA


Pengarang :