BERITA UTAMA

Peserta perhimpunan bantah Zakir, tulisan Khat akan ditangkap

KUALA LUMPUR 23 OGos: Polis memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan haram di Little India, malam ini dan esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, perhimpunan berkenaan adalah perhimpunan ‘Bantah Tulisan Khat Sekolah Tamil’ dan ‘Say No To Zakir Naik, Equal Rights to Indians and Other Race’.

“Polis telah menerima notis pemakluman daripada penganjur mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012…namun kedua-dua notis itu tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan undang-undang.

“Polis menolak permohonan itu atas faktor keselamatan dan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) juga tidak memberi kebenaran,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata penganjur perhimpunan sekiranya masih berdegil dan mereka yang didapati menyertai perhimpunan itu akan ditangkap dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mazlan berkata, isu yang dibangkitkan itu telah diselesaikan oleh kerajaan dan tiada alasan kukuh untuk mengadakan perhimpunan.

Beliau berkata, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman orang ramai dan penduduk setempat terjamin, polis telah menempatkan anggota yang mencukupi di kawasan itu.

Tiga jalan utama menghala ke Little India juga telah dilencongkan iaitu Jalan Tun Sambanthan, Jalan Bank Rakyat dan Jalan Lebuhraya Persekutuan.

“Polis juga akan membuat pemeriksaan rapi terhadap kenderaan dan individu di kawasan itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :