EXCOSELANGOR

‘Affordable Meals’ dilancar sempena Persidangan IN4TECH

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kerajaan Negeri menyokong penuh inisiatif IN4TECH bagi pelaksanaan program ‘Affordable Meals’ yang bakal dilancarkan sempena Persidangan IN4TECH, pada 24 hingga 27 September ini.

IN4TECH menjalin kerjasama erat dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Sdn Bhd berkaitan Ekonomi Digital Islam (IDE) dengan memberi fokus terhadap Teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan Halalan Toyyiban dalam bidang pemakanan melalui ‘Handheld Terminal’ serta bayaran digital.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, program itu diwujudkan sebagai pendekatan meningkatkan ekonomi kehidupan bandar, khususnya kaum wanita.

Katanya, Kerajaan Negeri prihatin dengan keperluan rakyat dan cabaran kehidupan masa kini, terutama dari aspek kenaikan harga makanan berikutan keadaan ekonomi yang tidak stabil.

“Keusahawanan adalah jalan utama untuk bebas daripada kemiskinan dan memberi peluang seseorang itu menjana pendapatan tambahan keluarga.

“Oleh itu, dengan sokongan dan bantuan pinjaman mikro oleh Hijrah Selangor, program ‘Affordable Meals’ dilihat mampu mengubah taraf ekonomi rakyat Selangor.

“Program ini akan bermula di Selangor sebelum diperluaskan ke seluruh Malaysia pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Haniza berkata, program berkenaan akan menggalakkan pengusaha makanan halal menjualnya pada harga lebih kompetitif yang mampu dibeli pelanggan.

Katanya, ia juga melahirkan lebih ramai peniaga makanan, sekali gus mampu menjana peningkatan pendapatan bulanan sehingga RM4,000.

“Ini adalah sistem pertama yang memberikan terminal kepada individu dengan mengabungkan teknologi IR4.0 kepada produk makanan seharian rakyat seperti nasi lemak. Dengan mengeluarkan makanan secara IR4.0, harga makanan yang dijual dapat dikurangkan.

“Malaysia sememangnya sinonim dengan syurga makanan, maka tidak hairanlah syarikat inovasi ini menghasilkan produk yang mampu melonjakkan lagi industri makanan dan minuman di negara ini.

“Justeru, peniaga digalakkan mencuba menu baharu dan dengan kepastian, program `Affordable Meals’ boleh merangkumi banyak lagi menu makanan kegemaran tempatan,” katanya.

Haniza yang juga Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya berkata, seramai 12 pengusaha dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dipilih melalui medium Pusat Wanita Berdaya (PWB) Lembah Jaya untuk menyertai persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu.

“Mereka antara 1,500 pengusaha yang bakal menghadiri IN4TECH memandangkan program ini ditujukan khas kepada pengusaha kecil merangkumi 76 peratus usahawan di Malaysia,” katanya.


Pengarang :