Mohd Zawawi Ahmad Mughni bersama wakil RPA dan Kumpulan Darul Wardah melawat Penjara Kajang pada 7 Oktober 2019.
AGENSISELANGOR

MAIS-Penjara jalin kerjasama bantu pulih banduan

SHAH ALAM, 7 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerusi Rumah Pemulihan Riqab (RPA) akan bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi membantu memulihkan banduan sebelum kumpulan itu kembali bersama masyarakat.

Ahli Mesyuarat MAIS, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kerjasama kali pertama itu dijangka memberi fokus kepada pesalah yang mempunyai kes berkaitan dadah dan juga seksual.

“Sebelum ini, RPA di Selangor berjaya membantu Badan Bukan Kerajaan menangani gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), akidah, sosial serta dadah.

“Justeru, kami mahu menggunakan landasan ini membantu golongan banduan, memulihkan semangat mereka supaya menjadi insan yang lebih baik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Penjara Kajang bersama wakil RPA dan Kumpulan Darul Wardah, di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata, program yang dijangka bermula pada November itu turut membabitkan banduan wanita.

Terdahulu, bahagian pemulihan Ar-Riqab MAIS diwujudkan untuk menyelaras dan menyelia aktiviti rumah kebajikan serta perlindungan di Selangor.

Ia turut memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada individu juga kumpulan Islam memerlukan pemulihan akidah.

Pada masa sama, ia juga mengurus perkhidmatan perlindungan, pemulihan kaunseling kepada kumpulan wanita dan gadis yang terlibat dalam gejala sosial.


Pengarang :