AGENDANASIONAL

Gagal urus pelarian boleh bebankan negara – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Malaysia harus menguruskan pelarian secara betul atau ia akan membebankan negara pada masa akan datang.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, negara sedang menghadapi masalah kemasukan pelarian dan pengurusan yang betul adalah perlu agar ia tidak membebankan negara.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) Filippo Grandhi di Geneva pada Selasa.

Kenyataan mengenai pertemuan itu diedarkan kepada media hari ini. Pertemuan selama 45 minit itu antara lain membincangkan mengenai kerjasama antara Malaysia dan badan dunia itu dalam pelbagai aspek pengurusan pelarian.

Antara komitmen UNHCR adalah untuk membantu Malaysia dalam mendapatkan sebahagian dari Qatar Development Fund yang boleh digunakan untuk mengurangkan beban negara menguruskan pelarian.

Semasa pertemuan tersebut juga, Muhyiddin menegaskan bahawa terdapat keperluan penglibatan pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia dalam proses pemberian status pelarian yang dilaksanakan selama ini oleh UNHCR.

Setakat ini Malaysia dipercayai mempunyai seramai lebih kurang 180,000 orang pelarian dari pelbagai negara.

Muhyiddin dijangka akan mengadakan mesyuarat intra-agensi selepas kembali ke tanahair bagi meneliti soal pengurusan pelarian di Malaysia. Antara agensi yang terlibat adalah Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :