AGENDANASIONAL

‘Pelajar asing tanpa izin’ diserbu imigresen

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Mengaku sebagai pelajar tetapi pasport mereka disimpan pihak universiti, merupakan alasan kebanyakan warga asing yang diperiksa dalam serbuan di sebuah kondominium di Bandar Saujana Putra, Selangor, bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, awal pagi tadi.

Dalam serbuan bemula 1 pagi itu, seramai 45 warga asing ditahan, terdiri daripada warga Nigeria (20 orang), Guinea (10), Somalia (5), Yaman (4), Bangladesh (3) serta masing-masing satu dari Libya, Uganda dan Maldives.

Ketua Operasi Jabatan Imigresen Malaysia Selangor Mohamad Rahmat Abdul Manap berkata daripada 181 warga asing yang diperiksa, mereka yang ditahan terdiri daripada 31 lelaki dan 14 wanita, yang sebilangan besar mereka masuk ke negara ini menggunakan visa pelajar.

“Mereka ini menggunakan alasan pihak universiti menahan pasport mereka, kerana gagal menjelaskan yuran dan ada juga yang mengakui, mereka dalam proses lanjutan pengajian.

“Ada juga antara mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan salah guna pas,” katanya kepada pemberita selepas operasi tamat kira-kira 4 pagi.

Tambahnya lagi, pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada institusi pengajian yang berkaitan, bagi mendapatkan pengesahan kepada dakwaan warga asing yang mengakui diri mereka pelajar.

Mohamad Rahmat berkata ketika operasi, anggotanya terpaksa memecahkan pintu rumah yang didiami warga asing itu, kerana keengganan mereka untuk bekerjasama.

Katanya mereka telah melakukan risikan selama dua minggu, sebelum menjalankan operasi yang melibatkan 68 anggota Jabatan Imigresen Selangor.

Tambahnya, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 18 hingga 40 tahun dibawa ke bahagian penguatkuasaan Imigresen Selangor, untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Tahanan di Semenyih.

-BERNAMA


Pengarang :