Penerima bergambar ketika Majlis Agihan Cej Bantuan Infra Sekolah-sekolah Fasa 2 Tahun 2019 berlangsung di Dewan Jubli Perak SUK Selangor, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor salur peruntukan RM4.5 juta kepada 401 sekolah

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerajaan Negeri menyalur peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk diagihkan kepada 401 sekolah seluruh Selangor pada fasa kedua di bawah Program Agihan Bantuan Infrastruktur tahun ini.

Penolong Setiausaha Pendidikan (Bahagian Pengurusan Sumber Manusia) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Siti Syazwani Ab Latib berkata inisiatif itu bagi membantu menyelesaikan masalah infrastruktur sekolah demi keselesaan pelajar menuntut ilmu.

Katanya pemilihan dilakukan mengikut keperluan sekolah dengan mengambil kira jumlah pelajar dan keadaan terkini sekolah berdasarkan borang permohonan yang perlu dilengkapkan.

“Antara sekolah yang dipilih ialah Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina dan Tamil serta Sekolah Mubaligh membabitkan semua Dewan Undangan Negeri di Selangor.

“Secara purata, setiap sekolah akan menerima bantuan berbeza antara RM10,000 hingga RM20,000 mengikut keperluan kerosakan yang perlu dinyatakan di borang permohonan sebelum diputuskan Pejabat Dato’ Menteri Besar.

“Kita mahu supaya semua fasiliti sekolah berada dalam keadaan selamat dan kondusif kerana paling penting bagi kami adalah keselamatan serta keselesaan di sesebuah sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ramah Mesra (Networking) Bersama Penerima Bantuan Sekolah Negeri Selangor Fasa Dua 2019 di Ballroom Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Pada Oktober lalu, sebanyak 665 sekolah seluruh Selangor menerima manfaat itu pada fasa pertama membabitkan peruntukan bernilai RM19.2 juta.

Program itu dilaksanakan sejak 2017 dengan peruntukan sebanyak RM16 juta dan ditingkatkan kepada RM22 juta sebelum menjadi RM24 juta tahun lalu serta tahun ini.

Pada masa sama, Syazwani berkata semua penerima diingatkan supaya menghantar setiap laporan bagi membolehkan pihaknya memantau perkembangan terkini tahap infrastruktur di sekolah berkaitan.

“Kita sudah memberi surat kepada penerima fasa satu untuk mereka menghantar setiap laporan terkini menerusi bantuan yang disalurkan ini.

“Pihak sekolah perlu menggunakan bantuan ini sebaiknya dan jangan menganggap ia semata-mata untuk menyelesaikan masalah infrastruktur sekolah kerana ini hanya peruntukan tambahan, manakala selebihnya perlu dicari sendiri,” katanya.


Pengarang :