AGENDABERITA UTAMANASIONAL

165,040 PATI dihantar pulang di bawah program B4G

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Seramai 165,040 orang daripada 195,471 pendatang tanpa izin (PATI) yang berdaftar dalam program Back For Good (B4G) berakhir semalam, telah dihantar pulang ke negara masing-masing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, manakala baki seramai 30,431 orang lagi masih menunggu untuk dihantar pulang bergantung kepada tarikh tiket penerbangan yang diambil.

“Warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar antara tiga negara yang mencatatkan rekod PATI tertinggi yang berdaftar di bawah program ini dengan kebanyakan terdiri daripada golongan pekerja,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi di Puchong, hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh pelaksanaan program itu yang bermula pada Ogos tahun lepas, Jabatan Imigresen turut menerima pelbagai aduan berhubung kewujudan ‘ulat’ atau ejen yang mendakwa berperanan sebagai perantara bagi mempercepatkan proses urusan pendaftaran program itu.

Berikutan itu, Khairul Dzaimee berkata, lima individu, terdiri daripada warga tempatan dan warga asing ditahan untuk diambil keterangan, dipercayai menjadi perantara atau ejen bagi menguruskan pendaftaran program berkenaan.

“Mereka didapati melakukan kegiatan itu (sebagai perantara) di Pejabat imigresen di Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya,

Pada Julai tahun lepas, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program B4G bermula 1 Ogos hingga semalam bertujuan mengurangkan bilangan PATI di negara ini.

Golongan berkenaan hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan pejabat pesuruhjaya tinggi negara masing-masing sebelum menyerahkannya kepada Pejabat Imigresen dan membayar kompaun RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal.

Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya akan terus memperketatkan kawalan pintu masuk bagi mengatasi masalah kemasukan PATI termasuk mengesan pelancong warga China dan India yang terus tinggal di negara ini.

“Kita akan pastikan warga asing yang masuk menggunakan pas lawatan sosial mengikut peraturan ditetapkan seperti mempunyai tempat tinggal dan mempunyai kewangan kukuh bagi menampung perbelanjaan mereka.

“Selain itu, mereka juga perlu mengemukakan tiket penerbangan pulang ke negara asal sebagai syarat menggunakan pas lawatan sosial di negara ini,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 2 mendedahkan lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat negara ini dari 2016 sehingga tahun lalu tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

– BERNAMA


Pengarang :