Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid memeriksa puntung rokok yang cuba dipatahkan oleh lelaki warga emas dalam serbuan pasukan penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di sebuah restoran di bandar Kajang pada 2 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Warga emas nyaris dikompaun kerana mahu merokok di restoran

KAJANG, 2 JAN: Seorang warga emas panik dan dalam keadaan tergesa-gesa mematahkan puntung rokok ketika pasukan penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menyerbu sebuah restoran di bandar Kajang di sini hari ini.

Tindakan lelaki berusia 70-an itu menarik perhatian pegawai penguat kuasa Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Larangan Merokok yang terus memeriksa warga emas itu.

Nasib menyebelahi lelaki itu apabila puntung rokok yang dipatahkan belum sempat dinyalakan api.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim yang mengetuai operasi itu berkata, lelaki berkenaan memberi alasan dia merokok dalam kedai makan itu kerana mendakwa polisi dilaksanakan kerajaan sebelum ini disifatkan kurang berkesan.

“Walaupun penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam sudah dilakukan, namun Kementerian Kesihatan Malaysia turut memperkenalkan program Klinik Berhenti Merokok (Mquit) di klinik kesihatan dan hospital seluruh negara untuk membantu perokok tegar berhenti merokok.

“Malah, kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri termasuk pihak berkuasa tempatan menerusi program Selangor Bebas Asap Rokok (SELBAR) bagi menjayakan penguatkuasaan bebas asap rokok di semua premis.

“Paling penting adalah untuk kita menjaga kesihatan dan keselesaan mereka yang menikmati makanan terutama orang tua, ibu mengandung serta kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas operasi itu di sini.

Dr Khalid berkata, sebanyak tiga kompaun dikeluarkan sepanjang operasi di 40 premis di sekitar Sungai Chua dan bandar Kajang hari ini.

“Dua daripadanya melibatkan kesalahan merokok di tempat awam, manakala satu lagi kompaun berkaitan premis makanan yang mempamerkan papan tanda larangan tidak jelas.

“Kompaun yang dikeluarkan terhadap dua kesalahan itu adalah mengikut Akta Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia menetapkan tindakan penguatkuasaan larangan merokok sepenuhnya bermula semalam secara serentak di seluruh negara dengan kompaun maksimum sehingga RM350 bagi yang melanggar peraturan itu.


Pengarang :