Wisma Putra sentiasa memantau keadaan rakyat Malaysia di Queensland.
AGENDANASIONAL

Malaysia buka semula kedutaan di Korea Utara tahun depan

PUTRAJAYA, 3 JAN: Wisma Putra hari ini mengumumkan 12 sasaran untuk tahun ini (2020) termasuk melakukan pelan rasionalisasi terhadap perwakilan dan agensi yang mewakili Malaysia di luar negara.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Wisma Putra, yang bakal mengetuai misi pelan berkenaan, akan menyusun semula institusi perkhidmatan awam serta meminimumkan pertindihan fungsi, peranan dan tanggungjawab antara agensi terlibat.

“Ini dapat mengoptimumkan sumber manusia serta mengurangkan perbelanjaan kerajaan secara keseluruhan,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengumumkan pencapaian 2019 serta sasaran pada 2020 Wisma Putra di pejabatnya di sini.

Saifuddin berkata, sebagai contoh, Malaysia mempunyai misi di hampir semua negara menerusi MIDA dan Matrade, justeru pelan rasionalisasi akan memastikan fungsi agensi terlibat lebih efisien serta sistematik.

Beliau berkata, inisiatif itu tidak akan melibatkan sebarang pemberhentian pekerja sebaliknya lebih menjurus kepada penempatan semula pegawai dan staf terbabit.

Saifuddin berkata, pihaknya akan meningkatkan jumlah perwakilan Malaysia di luar negara khususnya menerusi pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang susulan pemulihan semula hubungan dua hala Malaysia-Korea Utara selain Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Turki serta Konsul Kehormat Malaysia masing-masing di Iraq, Libya dan Yaman.

“Pembukaan semula kedutaan (Malaysia) di Korea Utara ini kita harap (dapat direalisasikan pada) suku pertama tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, antara sasaran lain yang ditetapkan ialah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai pengundian di luar negara selain memastikan Malaysia menjadi hab bagi badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa.

“Wisma Putra akan terus bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia dan penggubal undang-undang berkaitan usaha menggiatkan keterlibatan Malaysia dalam program dan mesyuarat antarabangsa dalam usaha mempromosikan dasar luar Malaysia Baharu,” katanya.

Beliau berkata, Wisma Putra, melalui Jabatan Hal Ehwal Maritim, sedang menyediakan draf kertas konsep mengenai penubuhan Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Kecemerlangan Maritim.

Saifuddin juga berkata, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bersetuju mengetuai delegasi Malaysia sempena ulang tahun ke-25 Persidangan Dunia Keempat mengenai Wanita.

– BERNAMA


Pengarang :