Pemandu menungga bas untuk memindahkan warga Bagladesh keluar dari Wilayah Wuhan yang dilanda wabak koronavirus 2019 pada 1 Februari 2020. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Angka korban koronavirus 2019 di China meningkat 259

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Pihak berkuasa China melaporkan 46 kematian akibat koronavirus 2019 baharu dicatatkan pada Jumaat lalu, menjadikan angka korban meningkat kepada 259 orang.

Kedutaan China di Malaysia menerusi catatan di Facebook hari ini melaporkan, kematian baharu dilaporkan berlaku di Wilayah Hubei dan satu kes di Chongqing.

China juga merekodkan 2,102 kes baharu disahkan termasuk 268 mangsa kritikal. Angka mangsa dijangkiti virus itu meningkat kepada 11,791.

“Sehingga 11 malam, 31 Januari, Suruhanjaya Kesihatan dan Kesihatan menerima 11,791 kes termasuk 1,795 kes dikategori teruk, mati (259) dan dibenar keluar hospital (243),” katanya.

Sementara itu, mengikut Reuters, Wuhan ibu negeri Hubei yang menjadi pusat virus merebak melaporkan sebanyak 576 kes baharu dikesan.

Secara keseluruhan jumlah kematian di Wuhan meningkat kepada 192 orang setakat pagi ini.

Pihak berkuasa Hubei masih mengekalkan perintah berkurung ke atas penduduk wilayah terbabit dengan jalan-jalan ditutup, manakala sistem pengangkutan awam dihentikan.

Bagaimanapun, masih ada segelintir orang melanggar perintah berkenaan dengan meninggalkan kawasan kediaman masing-masing.


Pengarang :