EKONOMIEXCOSELANGOR

Selangor terus jadi pilihan pelabur dan pekerja mahir

PETALING JAYA, 1 FEB: Selangor terus menjadi pilihan utama pelabur di negara ini apabila merekodkan pelaburan RM16.4 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019, kata Dato’ Teng Chang Khim.

EXCO pelaburan berkata nilai itu dua kali ganda berbanding 2018 bagi tempoh sama mengikut statistik dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Statistik dikeluarkan MIDA, sehingga September 2019, Selangor berjaya merekodkan pelaburan langsung RM16.4 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2019 berbanding RM8.3 biilion bagi tempoh masa sama bagi 2018, mewakili peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

“Dengan nilai pelaburan tinggi ini, Selangor juga terus menjadi destinasi utama pekerja mahir dan separa mahir dari pelbagai kaum dan budaya untuk mencari peluang pekerjaan serta bermastautin di sini.

“Hasilnya, Selangor tampil dengan keunikan kepelbagaian dan permuafakatan antara kaum dan budaya, yang mempunyai kekuatan modal insannya sendiri,” katanya pada Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Dataran Petaling Jaya.

Chang Khim berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menjadi negeri aman dan makmur ke arah pembangunan cemerlang supaya rakyat dapat menikmati taraf hidup serta ekonomi lebih baik.

Katanya, Selangor mahu melakar lebih banyak kejayaan selepas ini dengan semangat tahun tikus mengikut kalendar lunar Cina.

“Saya yakin, usaha gigih dengan permuafakatan antara kaum yang erat serta semangat kerjasama kukuh dan dedikasi pasti menjadikan Selangor lebih sejahtera, aman, makmur dan lebih bersedia menangani semua cabaran ekonomi masa hadapan.

“Marilah kita bersama-sama menjadikan tahun baru ini sebagai tahun membina kejayaan dan berharap kerjasama ini menjadikan ekonomi Selangor juga Malaysia bertambah baik,” katanya.


Pengarang :