Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kanak-kanak China sembuh koronavirus di Langkawi dibenar pulang

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Seorang kanak-kanak perempuan warga China yang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah bagi koronavirus 2019 dibenarkan pulang setelah sembuh dengan hasil ujian pengesanan ulangan bagi virus itu didapati negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan malam tadi berkata kes berkenaan menunjukkan bahawa jangkitan koronavirus boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya, sebagaimana banyak lagi kes lain yang turut dilaporkan di negara China.

“Hasil ujian pengesanan ulangan koronavirus yang dijalankan ke atasnya sebanyak dua kali ini telah didapati negatif. Beliau (kanak-kanak terbabit) kini berada dalam keadaan sihat dan telah dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya.

Beliau berkata tanggapan ramai bahawa penyakit ini pastinya membawa maut kepada mereka yang menghidapnya adalah tidak tepat.

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengucapkan tahniah kepada Hospital Sultanah Maliha, Langkawi yang telah memberikan rawatan dan pemantauan yang rapi sehingga kanak-kanak ini sihat semula dan dibenarkan pulang.

Pada 29 Januari lepas, satu kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara China telah dilaporkan positif bagi jangkitan koronavirus dan dirawat di wad isolasi hospital berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :