Kelihatan beberapa pelancong memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah pencegahan jangkitan koronavirus 2019 ketika tinjauan di ibu negara pada 27 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

ASEAN perlu kerjasama bendung penularan koronavirus

BANGKOK, 7 FEB: Negara anggota ASEAN perlu berkongsi maklumat selain meningkatkan jalinan kerjasama bagi membendung penularan koronavirus 2019 di rantau ini, kata Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha semalam.

Prayuth yang mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata beliau bersetuju dengan presiden itu bahawa pertukaran maklumat dan kerjasama erat menerusi saluran sedia ada antara negara anggota ASEAN adalah penting bagi membendung penularan koronavirus.

“Thailand bersedia untuk membantu dan menyokong Indonesia dan anggota ASEAN lain dalam apa juga cara yang boleh,” katanya dalam akaun Twitter rasminya semalam.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kesihatan Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata Thailand bersedia untuk berkongsi pengalaman dan rawatan bagi merawat kes teruk koronavirus.

“Kita tidak pernah menyembunyikan maklumat. Kami percaya dengan berkongsi maklumat akan membawa kepada keberkesanan bagi mengawal penularan dan malahan memperbaiki rawatan,” katanya semasa taklimat hariannya di sini semalam.

Terdahulu minggu ini, dua doktor dari Hospital Rajavithi di Bangkok berkata, mereka menemui satu pendekatan baharu – kombinasi perubatan selsema dan HIV membawa kepada penambahbaikan 48 jam selepas dirawat.

Mereka berkata rawatan itu telah membuktikan bahawa ia menambahbaik keadaan beberapa pesakit di bawah penjagaan mereka.

Sehingga hari ini, Thailand mengesahkan 25 kes koronavirus dengan sembilan telah dapat disembuhkan dan dibenar keluar hospital.

Mengenai gesaan agar melarang pelancong China memasuki negara ini, Anutin berkata menghalang jangkitan dan langkah kawalan adalah lebih berkesan daripada halangan berkunjung kerana ia tidak mengurangkan jumlah kes berkenaan.

“Bagaimanapun, saya ingin mengulangi bahawa nyawa dan kesihatan orang ramai adalah keutamaan kami.” katanya.

Anutin berkata kerajaan China telah menyatakan terima kasih kepada kerajaan Thailand kerana menjaga dan merawat dengan baik rakyatnya yang disahkan meghidap koronavirus di negara ini.

– BERNAMA


Pengarang :