AGENDABERITA UTAMAJENAYAH

SPRM mohon waran tangkap terhadap Jho Low, dua pengarah PSI

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon waran tangkap dikeluarkan ke atas ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, dua pengarah PetroSaudi International Limited (PSI), Patrick Andrew Marc Mahony dan Tarek Essam Ahmad Obaid berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM menfailkan permohonan waran tangkap itu di Mahkamah Majistret di sini semalam dan permohonan itu didaftarkan di hadapan Majistret S.Mageswary.

Dalam permohonan itu, SPRM juga mendaftarkan pertuduhan terhadap Jho Low dan Tarek Obaid serta Patrick Mahony mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Akta SPRM 2009, bagi tujuan mendapatkan waran tangkap terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan itu, Low Taek Jho, Tarek Obaid dan Patrick Mahony didakwa telah secara bersama-sama bersubahat terlibat dalam konspirasi jenayah dengan Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan balasan rasuah pada 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011.

Pertuduhan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula menyatakan Tarek Obaid dan Patrick Mahony didakwa secara bersama-sama melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan menerima sejumlah wang ke akaun 1MDB-PetroSaudi yang disalurkan melalui akaun 1MDB pada 30 September 2009.

Pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) (a) AMLA 2001 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA


Pengarang :