Kakitangan MPSJ menanam pokok bagi menyahut seruan Kerajaan Negeri mencapai sasaran penanaman sehingga 80,000 setahun di setiap majlis daerah.
AGENDANASIONAL

Kerajaan Negeri diminta fokus tanam pokok dalam bandar – Sultan Selangor

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri perlu memberikan fokus kepada pelaksanaan menanam pokok dalam bandar bagi melahirkan generasi yang menitikberatkan kepentingan memulihara alam sekitar, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah langkah itu sekali gus dapat memastikan kesan perubahan iklim serta pemanasan bumi dapat dikawal.

“Biodiversiti yang unik di negeri ini harus dipelihara dengan memastikan setiap perancangan dan pembangunan dilaksanakan secara holistik.

“Cara ini membolehkan kewujudan persekitaran kehidupan yang berkualiti dan pembentukan masyarakat yang sejahtera,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Kali Ke-14 Tahun 2020 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Selain itu, baginda bertitah pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu dan kemerosotan kualiti udara perlu dipantau lebih-lebih lagi ketika negara dilanda musim panas dan kering sehingga bulan Oktober.

“Kawasan hutan, tanah gambut, tanah pertanian dan tapak pelupusan sampah haram di Selangor perlu dipantau bagi mengelakkan pecerobohan dan tidak berlaku pembakaran terbuka,” titah baginda.


Pengarang :