AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia turun kepada 1,237.19 mata

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan penurunan semalaman di Wall Street yang menjejaskan sentimen pasaran.

Pada 9.05 pagi hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.82 mata kepada 1,237.19 daripada 1,239.01 semasa ditutup semalam, selepas dibuka rendah 11.30 mata kepada 1,227.71 pagi ini.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 234 berbanding 108, dengan 131 kaunter tidak berubah, 1,544 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 142.10 juta saham bernilai RM61.70 juta.

Dalam nota, PublicInvest Research berkata saham AS ditutup rendah dengan mendadak pada Rabu, dengan Dow Jones Industrial Average ditutup di bawah paras 20,000 untuk kali pertama sejak Februari 2017 berikutan pelabur terus menjual ekuiti dan aset lain berikutan kebimbangan mengenai impak ekonomi daripada COVID-19.

Dow Jones Industrial Average jatuh 6.3 peratus untuk ditutup hampir 19,899 manakala S&P 500 merosot 5.2 peratus kepada 2,398 dan Nasdaq Composite susut 4.7 peratus kepada 6,990.

Indeks Hang Seng Hong Kong jatuh 4.2 peratus kepada 22,291.82, paras terendah sejak Januari 2017, Indeks Komposit Shanghai utama China merosot 1.83 peratus kepada 2,728.76, Nikkei 225 Jepun susut 1.7 peratus kepada 16,726.55 dan Kospi Korea Selatan berkurangan 4.86 peratus kepada 1,591.20.

Firma penyelidikan itu berkata FBM KLCI dijangka diniagakan tidak banyak berubah dalam masa terdekat, berada antara paras 1,250 dan 1,190 untuk menampung potensi tekanan jualan yang berterusan.

“Bagaimanapun, tekanan jualan dijangka berkurangan pada masa akan datang, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat. Paras sokongan untuk indeks adalah pada 875, 1,060 dan 1,190, manakala paras halangan pada 1,250, 1,310 dan 1,360,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank susut tujuh sen kepada RM7.19, Tenaga merosot lapan sen kepada RM11.34, Public Bank menambah dua sen kepada RM13.04 dan IHH berkurangan tiga sen kepada RM4.77.

Daripada saham aktif, Sapura Energy dan Pansar, masing-masing tidak berubah pada 7.5 sen dan 62 sen, manakala Perak Transit naik setengah sen kepada 14 sen.

Indeks FBM Emas susut 8.26 mata kepada 8,465.98, Indeks FBM Emas Shariah merosot 2.28 mata kepada 9,270.00 dan FBM 70 jatuh 123.13 mata kepada 9,594.85.

Indeks FBMT 100 susut 32.60 mata kepada 8,382.21 dan FBM Ace meningkat 15.03 mata kepada 3,444.44.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.52 mata kepada 96.69, Indeks Perladangan melonjak 103.01 mata kepada 5,693.36 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 3.57 mata kepada 11,353.06.

-BERNAMA


Pengarang :