Polis melakukan sekatan jalan susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur pada 19 Mac 2020. Foto BERNAMA
BERITA UTAMANASIONAL

Perintah Kawalan: Tentera mungkin dikerah jika rakyat ingkar

PUTRAJAYA, 19 MAC: Anggota tentera mungkin akan dikerahkan sekiranya tahap pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 kekal berada di tahap rendah.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini antara cadangan diketengahkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai perintah berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini kerajaan yakin polis masih mampu membuat kawalan.

Buat masa ini, Ismail Sabri berkata polis mengambil tindakan berhemah dengan menasihat masyarakat, namun beliau tidak menolak kemungkinan tindakan undang-undang mungkin terpaksa diambil pihak berkuasa sekiranya tahap pematuhan masyarakat tidak meningkat dari semasa ke semasa.

Katanya, sekatan jalan raya oleh polis sebagaimana dilakukan semalam juga diteruskan, susulan laporan pematuhan masyarakat terhadap perintah itu hanya 60 peratus sebelum sekatan jalan raya itu diadakan.

“Mungkin dua tiga hari pertama ini tindakan berhemah akan diambil (polis) iaitu setakat memberi nasihat. Saya percaya polis akan ubah cara dia dari menasihati kepada tindakan lebih keras jika rakyat masih tak patuh,” katanya menambah bahawa 504 sekatan dilaksanakan seluruh negara dan 6,135 kenderaan diperiksa.

Selain polis, katanya, khidmat anggota Rela turut digunakan untuk melakukan kawalan, terutama di kawasan luar bandar.

-BERNAMA


Pengarang :