AGENSISELANGOR

Keputusan saringan Covid-19 jurunikah Jais minggu ini

SHAH ALAM, 23 MAC: Jabatan Agama Islan Selangor (Jais) menjangka akan memperoleh keputusan saringan lima jurunikah yang disyaki positif Covid-19 pada minggu ini, kata pengarahnya.

Mohd Shahrizal Ahmad berkata, setakat ini semua jurunikah itu diminta menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

“Jurunikah itu tidak diarahkan duduk di hospital namun tetap mengambil langkah berjaga-jaga selepas mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Pada 17 Mac lalu, Jais mengeluarkan pekeliling menetapkan akad nikah boleh dijalankan tanpa kenduri untuk meraikan majlis perkahwinan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac.

Majlis itu juga hanya boleh diadakan di premis persendirian, dihadiri seorang pendaftar atau penolong pendaftar perkahwinan, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali, dua orang saksi serta dua orang wakil bagi pihak pengantin lelaki dan perempuan.

Tempoh ditetapkan tidak melebihi 20 minit termasuk khutbah nikah dan akad nikah dilangsungkan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan.

Bagaimanapun, Jais mengambil keputusan menangguhkan segala urusan berkaitannya selepas beberapa jurunikah disyaki Covid-19 ketika melaksanakan akad nikah.


Pengarang :