Foto PLUS
AGENDANASIONAL

Sistem kutipan tol RFID di PLUS, LPT2 ditangguh

SHAH ALAM, 24 MAC: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) terpaksa menunda tarikh pelaksanaan kutipan tol teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua plaza tol sistem tertutup di Lebuhraya Utaras-Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dijadualkan pada 1 April ini ekoran penularan Covid-19, kata pengarah urusan PLUS.

Datuk Azman Ismail berkata buat masa ini, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ujian dan kerja progresif sistem tersebut dihentikan dan akan disambung selepas tempoh PKP berakhir.

“Selepas selesai semuanya, 83 plaza tol sistem tertutup di PLUS dan 10 di LPT2 akan dilengkapi kemudahan pembayaran tol menggunakan RFID.

“PLUS percaya, PKP ini penting untuk melindungi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kakitangan kami dan seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azman, tarikh baharu pelaksanaan kutipan tol RFID akan diumumkan selepas tempoh PKP tamat.

Pada 11 Mac lalu, Azman mengumumkan kutipan tol menggunakan sistem RFID di 83 plaza tol sistem tertutup PLUS dan 10 di LPT2.

Sistem RFID merupakan objektif kerajaan untuk memodenkan pembayaran tol dan menambah baik pengalaman perjalanan  di lebuh raya melalui pengurusan kesesakan di plaza tol.


Pengarang :