Ir Izham Hashim (kanan) berbincang bersama Dato’ Seri Amirudin Shari dan beberapa agensi lain untuk meneliti tawaran bersesuaian bagi memastikan bekalan makanan asas dan bahan mentah terkawal. Foto Twitter Amirudin Shari
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pasar Agro Selangor atasi isu lambakan bahan segar, elak kes buang ikan

SHAH ALAM, 26 MAC: Selangor dijangka melancarkan program pemasaran khas bagi mengatasi isu lambakan dan pembuangan bahan segar, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata inisiatif melalui Pasar Agro Selangor akan dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April ini.

“Kerajaan Negeri akan buat promosi secara besar-besaran bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Mengulas insiden nelayan membuang ikan ke dalam laut susulan isu pengangkutan, Ir Izham berkata ia dipercayai berlaku di Sungai Besar dan Sekinchan, kira-kira dua hari lalu.

“Dipercayai ikan tersebut tidak dapat dihantar ke pasar dan menyebabkan kerugian kepada mereka, namun Kerajaan Negeri akan bantu menjualnya,” katanya lagi.

Sebelum itu, beliau berbincang dengan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan untuk meneliti tawaran sesuai bagi memastikan bekalan makanan asas dan bahan mentah terkawal.


Pengarang :