AGENDANASIONAL

MKN sedia talian khas bantu rakyat tertekan ketika PKP

SHAH ALAM, 13 APRIL: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyediakan dua talian khas bagi membantu orang ramai yang menghadapi tekanan perasaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Dua bantuan itu adalah talian sokongan emosi dan psikososial, manakala satu lagi talian kasih bagi perkhidmatan kaunseling Covid-19.

 

“Talian sokongan emosi dan psikososial dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM) manakala talian kasih dikendalikan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWKM),” kata pegawai MKN yang hanya mahu dikenali sebagai Zainab ketika dihubungi SelangorKini.

Beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang, rakyat boleh menghubungi talian sokongan sosial emosi dan psikososial di 011-639 96482, 011-6399 4236 atau 03-2935 9935.

Bagi talian kasih pula ia beroperasi 24 jam dan boleh dihubungi menerusi 15999 atau WhatsApp ke nombor 019-2615 999.


Pengarang :