EXCO Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Bantuan Kiss untuk ibu tunggal dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kerajaan Negeri akan membuka permohonan Bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) secara dalam talian kepada golongan ibu tunggal di negeri itu dalam tempoh terdekat, kata EXCO kebajikan, pemberdayaan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia berikutan banyak maklum balas diterima daripada kumpulan itu membabitkan pelbagai kaum dan kategori yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam masa seminggu kita akan umumkan bantuan Kiss yang boleh dimohon mereka malah kita tengah kemaskini sistem permohonan dalam talian bagi melayakkan semua ibu tunggal.

“Memandangkan sambutan menggalakkan, kita akan guna peruntukan Kiss sedia ada dan tiada keperluan untuk memohon dana tambahan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Mengulas bantuan nafkah khas di bawah kendalian Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), beliau berkata sumbangan wang tunai disalurkan bagi meringankan beban kewangan kepada ibu tunggal yang sudah memfailkan kes tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah sebelum PKP.

“Bagaimanapun, pemohon perlu melalui proses tapisan bagi melayakkan mereka mendapat bantuan ini,” katanya.

Setakat jam 9 pagi tadi, Jakess menerima 1,618 permohonan daripada golongan terbabit untuk Dana Bantuan Nafkah Sokongan Keluarga Selangor.


Pengarang :