Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap semasa sidang media harian berkenaan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 7 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 48 kes hari ini, kluster baharu depoh tahanan Semenyih

SHAH ALAM, 23 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan wujud kluster baharu membabitkan 21 individu positif Covid-19 di depoh tahanan imigresen (DTI) Semenyih, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini saringan Covid-19 di pusat tahanan imigresen itu giat dilakukan merangkumi 1,750 sampel.

“Daripada keseluruhan  sampel itu, kita dapati 21 kes positif Covid-19,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, setakat jam 12 tengah hari tadi, terdapat 48 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 7,185 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 1,158 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 48 kes baharu yang dilaporkan, empat adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 44 kes penularan tempatan, 25 kes adalah bukan warganegara,” jelasnya.

Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi dan lima memerlukan bantuan pernafasan manakala tiada kes kematian direkodkan hari ini sekali gus angka korban kekal 115 kes.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham menasihatkan umat Islam yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri esok untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan hanya berraya di rumah bersama keluarga masing-masing.

“KKM juga ingin menasihatkan masyarakat untuk menangguhkan ziarah-menziarahi keluarga dan rakan-rakan serta mengelak ziarahi kubur. Ini termasuk perjalanan merentas negeri yang mungkin boleh mengakibatkan penularan ke kawasan lain terutama ke zon hijau.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada Kluster Pengerang (penyebaran Covid-19 berlaku akibat aktiviti merentas negeri) dan juga sub-kluster Rembau (penyebaran jangkitan Covid-19 didapati turut berlaku akibat aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah sanak-saudara),” kata beliau.


Pengarang :