Sekatan jalan dilakukan anggota polis di Seksyen 24, Shah Alam pada 16 April 2020 ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kenderaan dari Selangor paling banyak diarah patah balik

SHAH ALAM, 23 MEI: Penduduk Selangor mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung paling tinggi semalam apabila 329 daripada 1,613 kenderaan di seluruh negara diarahkan berpatah balik, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia diikuti Kedah dengan 211 kenderaan dan Pulau Pinang dengan 196 kenderaan.

“Angka tersebut sedikit berkurangan berbanding 2,539 kenderaan pada hari sebelumnya. Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran termasuk mengenakan kompaun,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, pasukan petugas operasi pematuhan di seluruh negara semalam memeriksa sebanyak 35,035 buah kenderaan persendirian, 2,543 kenderaan awam dan 461  kapal.

Seramai 39 individu ditahan manakala 21 yang lain dikenakan kompaun kerana pelbagai kesalahan ketika pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.


Pengarang :