Keadaan aliran trafik kelihatan lancar di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) pada kedua-dua arah berikutan masyarakat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang memasuki fasa empat ketika tinjauan di kawasan Rehat dan Rawat Restoran Jejantas Sungai Buloh pada 7 Jun 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Boleh rentas negeri mulai Rabu, rakyat tarik nafas lega

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini tidak seperti kebiasaan kerana ia ‘sarat’ dengan khabar-khabar gembira.

Hampir semua sektor pendidikan, sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan paling mencuri perhatian sudah tentulah kebenaran rentas negeri bermula Rabu ini, yang sangat ditunggu-tunggu.

Sudah pastinya, semua ini memberi kelegaan kepada banyak pihak, tidak kira bujang mahupun yang sudah berkahwin, selepas hampir empat bulan ‘berkurung’ di tempat masing-masing.

Bagi Siti Normala Hassan, 29, penjawat awam yang bekerja di ibu negara, beliau amat gembira dengan kebenaran rentas negeri yang diberikan itu memandangkan sudah hampir lima bulan tidak dapat balik ke kampung halamannya di Dungun, Terengganu, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

“Selepas ini bolehlah saya memohon cuti untuk balik menjenguk ibu saya di kampung, sudah lama sangat tidak jumpa…Waktu Aidilfitri pun tak dapat balik jadi inilah masanya melepaskan rindu dan dapat rasa air tangan mak,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu Perdana Menteri mengumumkan perjalanan rentas negeri akan dibenarkan mulai Rabu ini kecuali di kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), antara beberapa kelonggaran yang dibenarkan ketika negara berada dalam fasa pemulihan Covid-19.

Tinjauan di media sosial turut mendapati ramai yang menzahirkan kesyukuran dengan kelonggaran yang diberikan, malah ada yang cuba berjenaka dengan menyiarkan gambar lebuh raya yang penuh ‘diserang’ kenderaan selepas 10 Jun nanti selain gambar borang cuti yang sudah mula diisi.

Pengguna Twitter @Haiqal James dalam ciapannya berkata:”Kerajaan kita benar-benar melakukan yang terbaik untuk norma baharu. Sekarang sudah boleh rentas negeri, masa depan kita semakin cerah.”

Pengguna Facebook, Nora Ain pula berkata:”Syukur, Alhamdulillah berkat kepimpinan kerajaan dan kesabaran seluruh rakyat Malaysia, ia boleh diumpamakan sebagai hari kemenangan kita tetapi dalam kegembiraan ini janganlah kita lupa SOP yang telah kita jalani selama tiga bulan jadikan ia sebagai norma baharu kita.”

Menyambut baik pengumuman kerajaan ialah pakar sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, yang menyifatkan kelonggaran tersebut memberikan kelapangan kepada masyarakat untuk memulakan aktiviti kehidupan seharian memandangkan ramai yang terjejas teruk berikutan gelombang Covid-19.

Bagaimanapun, beliau, yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menambah, rakyat tidak boleh menjadikan kelonggaran yang diberikan sebagai satu tiket untuk ‘berfoya-foya’ sehinggalah negara sudah diisytiharkan bebas sepenuhnya daripada Covid-19.

“Ini bukan kebebasan mutlak, selagi mana Covid-19 ada kita mesti patuh pada SOP. Rakyat mesti berdisiplin kerana kerajaan hanya mampu keluarkan arahan tapi pelaksanaan mesti dipatuhi oleh rakyat sepenuhnya,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :