AGENDANASIONAL

KEADILAN tekad pulihkan ekonomi jika kembali terajui Putrajaya

SHAH ALAM, 19 JUN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan memberi tumpuan terhadap usaha memulihkan ekonomi negara jika Pakatan Harapan kembali menerajui kerajaan Persekutuan.

Mengikut kenyataan Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, mereka mahu menyelamatkan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta memperjuang nasib warga kerja.

“Kerajaan Persekutuan yang baharu mestilah memberi fokus menyeluruh untuk melaksanakan agenda ini,” kata mereka sambil menekankan aspek reformasi dan pembaharuan tatakelola pentadbiran kerajaan.

Kenyataan bersama ahli-ahli parlimen KEADILAN juga menegaskan hasrat untuk menyelesaikan masalah penduduk miskin bandar dan desa serta memperjuangkan nasib peneroka.

Mereka juga mahu memastikan tiada mana-mana golongan yang tertinggal jauh terutama orang Melayu selain turut membela masyarakat bumiputera Sabah dan Sarawak.

KEADILAN juga berazam untuk mengukuhkan Pakatan Harapan dengan menggembleng tenaga semua pihak untuk mengembalikan mandat rakyat dalam masa terdekat.

Kenyataan itu juga menyebut parti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri dan turut menyatakan pentadbiran baharu mesti bersifat stabil dengan tidak bertukar kepimpinan berkali-kali.


Pengarang :