EXCOSELANGOR

Ikan patin tempoyak usahawan Selangor jadi pilihan rakyat China

SHAH ALAM, 13 JULAI: Produk ikan patin masak tempoyak dihasilkan usahawan Selangor menjadi pilihan penduduk China ketika ia dipasarkan ke peringkat antarabangsa tahun lalu, kata EXCO pembangunan usahawan.

“Kita sememangnya tidak jangka apabila produk tersebut mendapat perhatian peserta dan penduduk di China, mereka berminat untuk memasarkannya di sana.

“Jadi saya yakin apabila Kerajaan Negeri membantu usahawan membuat pembungkusan produk lebih baik serta menyediakan bahan mentah yang tahan lama, saya yakin produk usahawan ini boleh dibawa lebih jauh,” kata Rodziah Ismail menjawab soalan tambahan Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut menganjurkan program Pembungkusan Produk Made In Selangor bagi meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran produk keluaran negeri serta membimbing usahawan bagi menambah baik mutu pembungkusan dan penjenamaan produk.

“Produk ini akan menerima label Made In Selangor sebagai pengiktirafan kualiti pembungkusan produk tersebut. Sehingga kini hampir 70 usahawan menerima bantuan pembungkusan tahap asas dan 24 usahawan menerima bantuan bagi pembungkusan tahap pertengahan.

“Usahawan yang telah mengikuti program ini berpotensi untuk membawa produk mereka ke rangkaian pasar raya dan platform antarabangsa,” katanya.


Pengarang :