Orang kurang upaya (OKU) mencuba laluan baru yang dibina Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Pusat Perniagaan USJ 10, Subang Jaya pada 24 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Laluan pejalan kaki USJ10 makin baik, OKU rasa lebih selamat

SUBANG JAYA, 25 SEPT: Golongan orang kelainan upaya (OKU) kini merasa lebih selamat dan selesa susulan naik taraf laluan pejalan kaki di USJ10.

Wong Yeong Chieng, 39, yang mengalami cacat penglihatan berkata dia gembira dengan usaha dilakukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk kemudahan golongan OKU.

“Saya gembira laluan ini sudah semakin baik, ini kerana saya pernah jatuh sebanyak dua kali kerana struktur laluan pejalan kaki yang rosak. Akibat kemalangan kecil berkenaan, saya mengalami luka pada bahagian dahi.

“Oleh itu, saya amat berharap supaya pihak majlis sentiasa memantau laluan-laluan lain untuk dinaiktaraf supaya orang seperti kami lebih selamat dan selesa,” katanya kepada SelangorKini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Noraini Roslan bersama Orang Kelainan Upaya (OKU) mencuba laluan baru yang di bina Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Pusat Perniagaan USJ 10, Subang Jaya pada 24 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian selepas Sidang Media Naik Taraf Infrastruktur Pusat Perniagaan USJ10 di ibu pejabat MPSJ, di sini semalam.

Sementara itu Lum Kok Kiang, 59, yang menggunakan kerusi roda berkata dia kini boleh berdikari sekiranya ingin bersiar di sekitar kawasan USJ10.

“Sebelum ini keadaan cerun jalan untuk laluan OKU agak tinggi, oleh sebab itu saya memerlukan orang lain untuk bantuan, tetapi selepas kerja naik taraf selesai, saya boleh ke situ bersendirian,” katanya.

Semalam, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata sebanyak RM1.2 juta diperuntuk bagi menaik taraf laluan pejalan kaki khusus untuk OKU dan warga emas di bawah Program Bandar Bebas Halangan.

Selain USJ10, ia turut melibatkan kawasan SS15, SS16 dan Puchong Prima.


Pengarang :