AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Inisiatif khas LZS bantu 5,000 keluarga asnaf sementara

SHAH ALAM, 27 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu 5,000 keluarga yang berdepan masalah ekonomi berikutan penularan Covid-19.

Ketua pengarah eksekutifnya berkata Bantuan Alternatif Insan Terkesan antara tiga hingga enam bulan menyasarkan asnaf sementara.

Saipolyazan Mat Yusop menjelaskan inisiatif itu dilaksana bulan ini dan dijangka berakhir tahun depan.

“Mereka yang terkesan seperti hilang kerja akibat penularan Covid-19 akan dibantu untuk beberapa bulan, namun selepas bekerja semula mereka akan dikeluarkan daripada senarai.

Saipolyazan Mat Yusop berucap pada Majlis Serahan Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital LZS di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 14 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Bantuan juga berbeza mengikut keperluan dan semua penerima sudah dikenal pasti. Pelaksanaannya menggunakan dana sedia ada,” katanya ketika dihubungi.

Susulan itu, Saipolyazan menyeru orang ramai untuk menjalankan tanggungjawab membayar zakat bagi membantu golongan memerlukan.

Mac lalu, LZS menyalurkan bantuan khas zakat Covid-19 sebanyak RM500 kepada 9,000 penerima dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf. Seramai 20,000 penjaja dan peniaga kecil serta keluarga miskin turut dibantu.

Agensi itu juga mengagihkan insentif khas RM1 juta kepada hospital kerajaan dan pusat kesihatan daerah, petugas hadapan serta pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini.

 


Pengarang :