AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bekalan air tujuh kawasan di Hulu Selangor pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 4 JAN: Tujuh daripada lapan kawasan yang terjejas bekalan air di Hulu Selangor dekat sini pulih sepenuhnya pada jam 6.30 petang tadi, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata proses pemulihan masih dijalankan di Kampung Orang Asli dan bekalan di kawasan itu dijangka pulih 7 pagi esok.

“Bantuan bekalan air melalui lori tangki masih digerakkan kepada pengguna yang terjejas.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan lanjut dan status terkini dari semasa ke semasa menerusi laman sesawang di www.airselangor.com . Pengguna juga boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” kata Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Tujuh kawasan yang pulih ialah Kampung Serigala, Rumah Murah PKT 2 Sungai Selisek, Kampung Bahom, Kampung Gesir Tengah, Kampung Lalang, Kampung Sekolah/Kuarters Klinik dan Kampung Sungai Nilam/Kampung Seri Pagi.

Semalam, lapan kawasan di Hulu Selangor mengalami gangguan bekalan susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek berikutan kenaikan air ke tahap kritikal di muka sauk selepas hujan berterusan.


Pengarang :