AGENSISELANGOR

Mais sasar agih RM1 juta wang fidyah bantu 10,000 keluarga

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyasarkan mengagihkan RM1 juta wang fidyah kepada golongan memerlukan di negeri ini.

Setiausahanya, Dr Ahmad Shahrir Mahktar berkata daripada jumlah itu seramai 10,000 keluarga akan dibantu pada fasa kedua Ramadan ini.

“Fasa pertama kita telah selesai agih yang mana setiap keluarga diperuntuk RM100 dengan pemberian berupa pek makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan susu.

“Fasa kedua akan diteruskan dengan jumlah sama dan mereka yang terima terdiri daripada individu atau keluarga golongan berpendapatan rendah (B40), peniaga, penjaja terjejas punca pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Kempen Jom Sedekah ke dalam Tabung Amanah Anak Yatim Selangor di Hotel Acapella di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Mais, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Dr Ahmad Shahrir menjelaskan bantuan tersebut disalur melalui pelbagai program turun padang dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan serta masjid dan surau.

Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman web Mais di www.mais.gov.my atau membuat bayaran menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php .

 


Pengarang :