Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) meninjau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri di pusat membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 22 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ayam, hasil laut antara 10 barangan bawah harga kawalan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Sebanyak 10 jenis barangan kawalan dikenal pasti bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di Selangor.

EXCO Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata antara barangan tersebut ialah ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

“Harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kos semasa dan trend harga semasa,” katanya selepas meninjau pelaksanaan SHMMP di pusat membeli-belah Aeon Shah Alam semalam.

Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata sebanyak 156 premis termasuk tiga pasar borong diperiksa sejak skim tersebut berkuat kuasa kelmarin.

Beliau berkata pihaknya tidak menerima aduan peniaga sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah demi meraih keuntungan tinggi.

“Bagaimanapun, kita jangka kawalan pemeriksaan harga diperketat seminggu sebelum Aidilfitri.

“Saya mohon peniaga jujur selain bekerjasama dengan skim kawalan ini bagi membantu rakyat yang dalam kesempitan berikutan pandemik Covid-19,” katanya.

 


Pengarang :