Najwan Halimi (dua, kiri) menyerahkan sumbangan juadah berbuka puasa kepada anggota Balai Polis Seksyen 6 pada 8 Mei 2021. Foto Facebook Najwan Halimi
ADNSELANGOR

Hargai petugas hadapan, ADN Kota Anggerik sumbang juadah sahur

SHAH ALAM, 9 MEI: Wakil rakyat Kota Anggerik menyumbang 95 pek makanan sahur kepada petugas barisan hadapan di lapangan sekitar Shah Alam, awal pagi semalam.

Sebanyak 50 pek diserah kepada petugas perubatan wad kecemasan Hospital Shah Alam, 30 pek untuk Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 manakala baki kepada anggota Balai Polis Seksyen 6.

Najwan Halimi berkata juadah berupa nasi lauk daging, serunding dan air diagih dengan kerjasama Pengerak Belia Selangor Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik.

“Sumbangan ini bagi menghargai pengorbanan petugas terbabit yang bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab masing-masing sejak penularan Covid-19.

“Semoga Allah SWT memudahkan segala tugas mereka dan mengurniakan ganjaran kebaikan atas khidmat bakti yang dicurahkan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Najwan berkata sumbangan juadah berbuka tajaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) turut diagihkan kepada penduduk Pangsapuri PKNS di Seksyen 16.

Beliau berkata serahan dibuat kepada wakil ketua blok meliputi 926 buah rumah.


Pengarang :