Keadaan kesesakan trafik menghala Plaza Tol Gombak yang dirakam pengguna jalan raya pada 17 Mei 2021. Foto Facebook Perindu Sepi
AGENDANASIONAL

Polis: Pemilik kenderaan lalu tol Gombak ada dokumen rentas negeri

SHAH ALAM, 18 MEI: Kebanyakan pemilik kenderaan yang bersesak memasuki Plaza Tol Gombak dari Pantai Timur pada hujung minggu lalu memiliki dokumen rentas negeri.

Ketua polis Daerah Gombak berkata mereka yang terlibat mempunyai urusan balik ke universiti serta institusi pendidikan lain selain ada urusan kerja di Lembah Klang, lapor Berita Harian.

Keadaan kesesakan trafik sebelum keluar Plaza Tol Gombak arah Kuala Lumpur pada 17 Mei 2021. Foto Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia

“Saya berada di Plaza Tol Gombak daripada jam 5 petang semalam (Ahad) hingga 1 pagi tadi untuk memantau sekatan jalan raya di situ dan dan pada hari ini (Isnin) hingga jam 9.30 malam tadi, kesesakan masih berlaku,” kata Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung kesesakan luar biasa di Lebuhraya Karak menghala ke tol Gombak apabila ribuan kenderaan dari Pantai Timur memasuki ibu negara.

Orang ramai mempertikai situasi itu berpunca daripada aktiviti rentas negeri dan daerah oleh mereka yang pulang semula ke Lembah Klang selepas menyambut Hari Raya.

“Kesesakan antara tiga hingga empat kilometer itu tidak setara dengan kesesakan pada musim perayaan yang biasanya berlaku menjangkau 20 ke 30 kilometer walaupun tiada sekatan jalan raya dibuat.

“Jadi komen itu adalah tidak tepat,” tambah Arifai.


Pengarang :